21.10.06

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1427 H YM TUAN GURU

Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!

Hari Raya Aidil Fitri tiba lagi. InsyaAllah kita semua akan menyambutnya beberapa hari sahaja lagi bersama keluarga tercinta dan sahabat handai. Sebagai umat Islam, kita disyariatkan untuk merayakan hari mulia ini dengan penuh kesyukuran serta menghiasinya dengan ibadah seperti bertakbir, ziarah menziarahi dan memperbanyakkan sedekah jariah.Bertakbir lah pada malam Hari Raya Aidil Fitri sebagai tanda kita mengingati kebesaran Allah SWT dan diri kita sebagai hamba yang sentiasa tunduk kepada-Nya. Ini selaras dengan firman Allah SWT di dalam kitab suci Al Quran yang bermaksud, “Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

Junjungan besar kita Rasulullah Muhammad SAW juga bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bermaksud, “Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid” dan daripada Anas r.a. yang bermaksud, ”Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.”

Selain itu, di kesempatan ini, ingin saya menyentuh sedikit tentang kemelut yang berlaku dalam persatuan kita sekarang. Fitnah terhadap saya semakin bermaharajalela, ada yang datang secara terbuka, melalui sms, e-mel, laman web dan blog. Apabila fitnah itu disebarkan menggunakan teknologi maklumat, sesiapa sahaja di seluruh dunia boleh mengetahuinya. Kemunculan blog yang bertujuan untuk mengaibkan saya tumbuh bagaikan cendawan.

Tidak kurang juga blog-blog yang bertujuan untuk mempertahankan saya. Samada menentang atau menyokong saya, kita terpaksa akur pada kenyataan bahawa blog-blog berkenaan menyediakan ruang untuk kita terus berkrisis, bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri. Saya perhatikan, samada menyokong atau menentang, tulisan-tulisan itu lebih cenderung untuk menggunakan bahasa kesat, kotor dan penuh dengan caci maki. Tulisan-tulisan itu dibaca oleh pihak luar dan ini adalah satu perkara yang sungguh memalukan. Nama Silat Cekak Hanafi yang selama ini harum di seluruh negara sudah pun tercemar.

Di luar sana, ramai yang ketawa dan tidak kurang juga yang kesal melihat perpecahan dan permusuhan sesama kita walhal kita adalah ahli sebuah pertubuhan yang memperjuangkan agama dan budaya. Sikap yang ditonjolkan oleh segelintir ahli-ahli itu adalah tidak selaras dengan ajaran Islam yang mana kita maklum bahawa perjuangan pertubuhan kita adalah bertunjangkan kepada kefahaman tauhid yang jitu. Saya tidak berupaya menghalang ahli yang menentang saya agar menghentikan fitnah terhadap saya melalui blog-blog mereka.

Namun, kepada ahli yang menyokong saya, saya nasihati agar semua ahli menghentikan tulisan-tulisan itu dengan segera. Pada dasarnya saudara/i berniat baik iaitu ingin mempertahankan saya. Saya sangat-sangat menghargai usaha murni saudarai/i itu. Namun, pada masa yang sama tindakan kalian itu adalah lebih cenderung untuk mendedahkan onar yang berlaku dalam persatuan. Tindakan itu sama lah seperti yang digambarkan dalam peribahasa Melayu iaitu menepuk air ke dulang, terpercik ke diri sendiri. Sekalipun hanya beberapa individu sahaja yang melakukannya, ia sama lah seperti, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.’

Sekiranya saudara/i menyokong dan menyayangi saya, semua pasti dapat berfikir bahawa tulisan itu sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah tetapi lebih memburukkan keadaan. Bagi saya, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah berusaha menyelesaikan krisis ini dengan cara bijaksana dan pada masa yang sama berdoa kepada Allah SWT supaya menunjukkan dengan jelas sejelasnya pihak manakah yang berada di dalam kebatilan.
Justeru, saya ingin mengajak diri saya sendiri, isteri saya, anak-anak saya, bonda mak teh dan adik beradik saya serta semua ahli untuk berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar pihak yang berada di dalam kebatilan diberikan petunjuk oleh Allah SWT. Ini selaras dengan Surah Ali Imran, ayat 61 yang sebahagian daripadanya bermaksud, “.....marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.”

Mubahalah bermaksud memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Ayat ini diturunkan kepada nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang berhadapan dengan perwakilan daripada Najran yang beragama Kristian yang enggan mengakui kebenaran nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir. Wakil Najran tetap enggan menerima baginda walaupun baginda berjaya menjawab semua soalan-soalan mereka dengan yakin dan menggunakan bukti-bukti yang terdapat di dalam Surah Ali Imran iaitu surah yang menceritakan tentang nabi Isa A.S. Akhirnya baginda mengajak mereka melakukan mubahalah. Bagaimanapun, wakil Najran tidak berani melakukan mubahalah dengan nabi Muhammad SAW lalu rakyat Najran yang berjumlah 100,000 orang itu kekal dengan kepercayaan Kristian. Begitu lah penyelesaian yang Allah SWT turunkan kepada nabi kita. Sebagai pengikutnya, kita wajar mencontohi tindak-tanduk baginda dalam menyelesaikan apa jua krisis. Kita tidak seharusnya menyelesaikan krisis yang berlaku sekarang dengan cara yang tidak selaras dengan apa yang dibawa oleh nabi kita. Mari lah kita sama-sama berusaha menyelesaikannya dengan cara paling berhemah, penuh dengan hikmah serta pada masa yang sama berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah SWT.

Akhir kata, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua ahli diseluruh Malaysia,tak lupa juga yang berada di luar negara . Semoga Aidil Fitri pada tahun ini akan menjadi medan untuk ahli ahli sekalian merapatkan silaturahim yang sudah terputus angkara fitnah oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menjatuhkan kedudukan saya sebagai guru utama.Sempena bulan yang mulia ini dampingilah kedua orang tua semasa hayat mereka masih ada dan sentiasa berhati-hati dijalanraya. Saya akhiri dengan maksud takbir, mudah-mudahan semua ahli dapat menghayatinya.

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah jualah yang Maha Besar Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Dan bagi Allah jualah segala puji Allah Maha Besar”

Sekian, wabillahitaufikwalhidayah Wassalamualaikum.
MD RADZI HAJI HANAFI
RAMADHAN/SYAWAL 1427 HIJRAH
KUALA LUMPUR, MALAYSIA.
_________________________________________________________

Sebarang komen atau cadangan,
bolehlah e-mail pada saya

anti_fitnah@yahoo.com

Salam Aidil Fitri 1427
Maaf Zahir Dan Batin

No comments: