4.11.06

Hikayat Kaduk

Tersebutlah kisah di sebuah kampung nan permai,tinggalnya seorang tua yang bernama Kaduk.Orang kampung sekeliannya biasa memanggil dengan nama Pak Kaduk supaya kelihatan lebih hormat dan mesra jualah adanya.Kaduk sedari kecil amat meminati seni budaya pusaka bangsanya.Maka atas dasar minatnya yang mendalam itu,dijelajah seluruh pelusuk kampung untuk menuntut seni beladiri bangsanya yang agung iaitu Silat.Pada asalnya Kaduk berguru juga dengan Tok Guru Silat yang ada di kampungnya itu,tetapi atas sebab ketidak serasiannya,kaduk nekad untuk berhenti sahaja.Lalu diteruskan pencariannnya mencari pusaka ilmu ini ke luar kampungnya pula.Perjalanan pencarian kaduk tidak mudah,dipenuhi dengan ranjau yang merintang dan badai yang menghalang.Namun kecekalan kaduk begitu kental,keazamannya tinggi.Atas sebab itulah membawanya berjumpa dengan seorang yang Guru yang berbeza ajarannya.Silat yang ditemui kaduk kali ini sungguh berbeza dengan silat-silat yang pernah ditemui sebelum ini.Lantaran keistimewaan silat yang baru ditemuinya ini,membuatkan semangat kaduk berkobar-kobar untuk kembali meneruskan pengajian silatnya.Lalu berhadaplah kaduk dengan Tok Guru Silat tersebut,yang terkenal dengan kealimannya dalam bidang agama juga selain dari silat.

"Pucuk dicita ulam mendatang" bisik kaduk di dalam hati.

Bertemankan seorang rakannya,kaduk berlatih dengan tekun dan bersungguh-sungguh.Tekadnya hanya satu,untuk pergi jauh dalam alam persilatan.Cita-citanya tinggi,untuk menjadi orang yang disegani di dunia beladiri yang penuh dengan cabaran.Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma jua,kaduk akhirnya selamat dikhatamkan dalam satu majlis yang turut diadakan kenduri untuknya dan rakan seperjuangan.Dari kalangan murid-murid yang lebih lama kaduk dimaklumkan tentang isi di sebalik silat yang telah dipelajari.Lalu kaduk bertekad untuk meneruskan penceburan dalam Silat ini,demi mengharapkan isi yang dijanjikan.Kaduk juga berazam untuk mecapai tahap yang tinggi dalam membantu Tok Gurunya mengembangkan warisan nenek moyangnya.

Namun Tok Guru berpesan,"Jangan buat sesuatu kerana mengejar sesuatu".Kaduk pada mulanya terasa juga,kerana memang dia bercita-cita untuk menjadi jurulatih sepaling tidak berubahlah warna bengkungnya yang sama seperti warna susu itu.Tetapi kaduk tidak peduli,disematkan di dalam hati untuk menjadi setanding Tok Guru,paling tidak pun sehebat murid-murid lama.Kaduk dengan rakan seperjuangan teruskan usaha murni,membantu Tok Guru mendidik watan mengembangkan budaya.Sehinggalah suatu ketika,rakan seperguruannya itu dilantik ke tahap yang lebih tinggi,sementara kaduk masih tetap di tahap yang sama.Rakannya yang dahulu sama warna bengkungnya dengan kaduk,kini telah berubah menjadi warna darah.Sungguh pilu dan hancurnya hati kaduk mengenangkan nasibnya yang kurang baik itu.Kaduk terlupa akan pesan Guru dahulu.Luluh hati kaduk menyangkakan Tok Guru tidak mengenang jasanya.Hendak diluahkan,kaduk tidak berani.Hendak diteruskan,kaduk sudah tawar hati.Lalu kaduk membawa diri.Membawa hati yang pilu mengenangkan cita-cita dan hajatnya yang tidak kesampaian.

Sepanjang peninggalan kaduk,warisan silat yang dipelajarinya terus berkembang pesat.Sehinggalah satu ketika,Tok Guru Silat yang disanjungi pergi menyahut seruan Ilahi buat selama-lamanya.Arakian peninggalan itu diisi pula kekosongan oleh pemangkunya yang terdiri dari kalangan murid lama.Pemangku Guru ini meneruskan perjuangan suci dan murniTok Guru Silat demi memikul amanah bangsa dan agama.Kaduk yang sedang membawa diri itu tahu perkembangan silat yang diikutinya,namun luka di hati masih belum sembuh dan pulih sepenuhnya.Lalu diteruskan membawa hati yang merundum pilu sekian lama.

Hinggalah akhirnya,tiba detik Pemangku Guru itu diganti oleh Tok Guru Silat yang baru,akibat dari salah ajaran Pemangku Guru,yang jauh menyimpang dari jalan yang sebenar.Tok Guru Silat yang baru ini bukanlah Insan lain,sebaliknya Zuriat Tok Guru Silat yang telah pergi itu sendiri.Di kala ini berlakulah perselisihan antara Si Pemangku dan Pengganti Tok Guru Silat,sehingga berpecah belah perjuangan silat yang murni itu.Namun,Tok Guru Silat yang baru tetap meneruskan perjuangan dan peninggalan ayahanda tercinta meninggalkan terus Pemangku Guru yang taksub pada perjuangan harta benda.

Kaduk juga tahu perkembangan ini,dan merasakan inilah detik yang sesuai untuk meneruskan cita-citanya yang terbantut selama ini.Di sangkakan peluangnya untuk meneruskan hajatnya itu akan lebih cerah bersama Tok Guru yang sekarang ini.Lalu kaduk pun kembali menyarungkan persalinan yang sudah lama ditinggalkan,itu pun persalinannya sudah ada perubahan berbanding yang lama.Kaduk kemudian bercita-cita untuk membuka gelanggang baru di tempatnya mencari rezeki.Lalu dikumpulkan anak-anak watan yang berminat di tempatnya mencari rezeki itu.Merasakan dirinya layak,kaduk dengan bangga mengkhabarkan kepada anak watan,bahawa dialah yang akan menjadi wakil Tok Guru menyelia anak-anak watan.Rupa-rupanya hajat kaduk memang terlalu besar,cita-citanya terlampau tinggi.Sekali lagi kaduk diuji apabila Tok Guru melantik orang lain menyelia gelanggang tempatnya mencari rezeki itu.

Oh,sungguh malang nasibku kata kaduk.Apakah salah jika aku terlalu mendambakan sesuatu?tanya kaduk sendiri.

Kali ini kaduk bersabar,kerana perjuangannya baru sahaja hendak bermula kembali.Mungkin sekejap lagi aku akan dinaikkan,sepaling kurang dapat jugalah aku menukar warna bengkung ku ini yang tidak pernah berubah sejak dari dulu, bisik kaduk di dalam hati.Atas cita-cita yang terlampau menggunung itulah,kaduk sudah siap-siap sedia menempah warna bengkung yang diidam-idamkan.Mudah nanti,kaduk beralasan.Lalu apabila tiba satu ketika apabila wakil Tok Guru di kawasannya itu tertinggalkan bengkung,kaduk tanpa segan silu meminjamkan bengkungnya yang sudah siap-siap ditempah itu,walaupun belum pernah lagi kaduk memakainya.Wakil Tok Guru pun hairan juga,kerana setahunya kaduk belum lagi ke tahap itu.Tapi demi menjaga hati kaduk yang sememangnya kecil itu,Wakil Tok Guru hanya mendiamkan sahaja.

Kaduk kemudian berhijrah dari satu gelanggang ke satu gelanggang yang lainnya,demi menyesuaikan dengan kemudahannya.Kaduk selain itu juga rajin membantu pergerakan Silat dalam menganjurkan majlis-majlis ilmu juga majlis-majlis keraian.Bertemulah kembali kaduk dengan rakan-rakan yang lama ditinggalkan,juga dengan murid-murid yang lama dahulu.Kaduk juga berpeluang mengenali lebih ramai rakan-rakan yang lebih muda darinya.Di kalangan rakan-rakan lama,kaduk mendakwa pemergiannya itu dulu demi menyahut seruan nusa menjaga tanah air.Kaduk mengatakan pemergiannya itu ke negeri di atas angin atas sebab tugas-tugas yang memanggil.Padahal rakan-rakanya tahu,kaduk berbohong demi menutup kelemahan hatinya yang merajuk sewaktu itu.Di kalangan rakan-rakan muda,kaduk mengatakan dirinya hebat,memandangkan dia lebih tua dan lama.Cita-cita kaduk yang menggunung dan hajatnya yang melangit itu tidak pernah luput dan padam.Demi menyedapkan hatinya yang sering berhajat besat itu,kaduk pun mereka-reka cerita pada rakan-rakan bahawa dirinya sudah sampai tahap menengah persilatan dan sebagainya.

Kaduk lupa,sikapnya yang suka berkata dusta itu akan menjejaskan dirinya sendiri.Rakan-rakan yang didusta akhirnya dapat tahu juga yang kaduk memang sikapnya bergitu.Tetapi kerana hormatkan kaduk sebagai rakan,mereka diamkan sahaja,dengan harapan biarlah kaduk berubah suatu hari nanti,ujar mereka.

Kaduk pula terus-terusan dengan sikapnya yang suka berdusta mengatakan tentang kehebatan dirinya.Cita-cita dan hajatnya tidak pernah berubah,masih tetap menggunung dan melangit seperti dulu.Demi mengambil hati Tok Guru,kaduk pun berkerja keras membantu memudahkan lagi perjalanan sesuatu perkara.Kaduk berharap agar Tok Gurunya nanti dapat memberikan pulangan yang lumayan kepadanya.Tetapi kaduk terlupa bahawa setiap yang dilakukan pasti tidak akan dapat balasan sekiranya dia terlampau mengharap.

Kaduk yang pada mulanya dapat bersabar dengan Tok Guru,akhirnya mengambil kesempatan yang baik apabila Tok Guru dilanda masalah iaitu fitnah pada diri Tok Guru.Inilah masanya,ujar kaduk di dalam hati.Lalu kaduk pun mengatur strategi demi mejatuhkan Tok Gurunya sendiri.Kaduk tidak sedar,tindakannya akan memakan dirinya kelak.Kaduk yang penuh dengan penyakit hati itu,akhirnya tersungkur di pintu syurga.Akibat dirinya yang tidak pernah ikhlas melakukan sesuatu,kaduk hujungnya mengakhiri perjuangannya dengan sia-sia...


Nota kaki: Cerita di atas adalah rekaan semata-mata.Tidak ada kena mengena sama ada pada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Ditulis disini supaya dijadikan iktibar dan pengajaran semata-mata.

3 comments:

simpson said...
This comment has been removed by a blog administrator.
simpson said...

siapakah pak kaduk??siapa yaa???

Panglima Undertaker said...

Sebuah dokumentari berinformasi khusus untuk tontonan adik-adik.